Sunday, August 30, 2009

Hayati Makna Kemerdekaan

Bagaiman untuk menjadi bangsa Merdeka? Ikutilah Kisah berikut yang saya petik dari laman islamhadhari.net

Pertama, makna kemerdekaan dapat dipetik daripada kisah Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membebaskan diri daripada orientasi asasi yang keliru dalam kehidupan manusia. Dalam surah al-An’am ayat 76-79 dikisahkan perjalanan spiritual Nabi Ibrahim dalam mencari Tuhan.

Pencarian spiritual tersebut merupakan usaha Nabi Ibrahim dalam membebaskan hidup daripada orientasi kehidupan yang diyakininya keliru, namun hidup subur dalam masyarakatnya.

Sebagaimana diketahui, masyarakat yang melingkungi Ibrahim a.s ketika itu menyembah berhala. Bagi Ibrahim a.s, peyembahan terhadap berhala merupakan kesalahan besar kerana secara logiknya pun perbuatan itu membawa manusia kepada perlakuan penghambaan yang menjatuhkan harkat dan martabat diri mereka sendiri sebagai manusia.

Kedua, makna kemerdekaan juga dapat dipetik daripada kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya daripada penindasan Firaun. Kekejaman Firaun terhadap Bani Israil dikisahkan menerusi pelbagai ayat di dalam al-Quran. Firaun merupakan ‘bayangan masyarakat’ yang angkuh dan tamak akan kekuasaan di muka bumi.

Keangkuhan pemimpin atau penguasa seperti ini membuat mereka tidak segan silu membunuh dan memperhambakan kaum lelaki Bani Israil dan menistakan kaum wanitanya. Keangkuhan inilah yang mendorong Musa a.s tergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri daripada penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa yang mulia dan bermartabat (Al-A’raaf: 127, Al-Baqarah: 49, dan Ibrahim: 6)

Ketiga, kisah kejayaan Nabi Muhammad s.a.w dalam menggalas misi dakwah baginda di muka bumi (Al-Maa’idah: 3) menjadi sumber ilham yang tidak pernah putus atau usang bagi bangsa Malaysia untuk memaknakan kemerdekaan secara lebih holistik dan integral.

Ketika diutus 14 abad silam, Nabi Muhammad s.a.w menghadapi sebuah masyarakat yang mengalami tiga penjajahan sekali gus: kecelaruan atau kekeliruan hidup, penindasan ekonomi, dan kezaliman sosial.

Kecelaruan hidup diekspresikan dalam penyembahan patung oleh masyarakat Arab Quraisy. Rasulullah berjuang keras mengajar kepada umat manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan ‘’tuhan-tuhan’’ yang secara terang-terang perlakuan itu menjeruskan harkat dan darjat manusia (Luqman: 13; Yusuf: 108; Az-Dzaariyaat: 56; Al- Jumu’ah: 2).

Penindasan ekonomi itu dilukiskan di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang membuat kekayaan hanya berputar dan berlingkar pada kelompok-kelompok tertentu sahaja (Al-Hasyr: 7). Rasulullah s.a.w mengkritik orang-orang yang mengumpul dan menghitung-hitung harta tanpa mempedulikan kesejahteraan sosial dan keadilan ekonomi (Al-Humazah: 1-4; Al-Maa’uun: 2-3).

Rasulullah s.a.w memperjuangkan pembebasan perhambaan, kesaksamaan lelaki dan perempuan, dan persamaan antara manusia. Dalam khutbah terakhir baginda di Arafah, baginda menegaskan bahawa tidak ada perbezaan antara hitam dengan putih, antara Arab dengan bukan Arab.

Semuanya sama di hadapan Allah s.w.t. Tidak ada sisi atau sudut yang membezakan suatu kelompok manusia dengan manusia lainnya, melainkan tingkat ketakwaan mereka kepada Maha Pencipta (Al-Hujuraat: 13).

Apa makna kemerdekaan bagi kita? Sebagai kelompok terbesar daripada rakyat Malaysia, umat Islam seharusnya dapat memetik, mengambil, menggali (atau apa istilah sekalipun yang seumpamanya) makna kemerdekaan tersebut daripada al-Quran.

Wassalam

No comments:

Post a Comment