Tazkirah 12: Kita Dan Barat Berbeza
by Sidek Baba on Monday, 22 October 2012 at 22:00 ·
Kita tidak mengambil sikap menentang Barat kerana Barat itu Barat. Tetapi kita agak hati-hati dengan proses pembaratan. Pembaratan adalah suatu agenda. Globalisasi umpamanya adalah agenda Euro-Amerika terhadap pihak lain. Terdapat manfaat daripada proses globalisasi dan terdapat juga perkara yang tidak bermanfaat dalam proses tersebut.
Kemajuan sains dan teknologi Barat boleh dipelajari kerana padanya terdapat manfaat. Isu pengklonan, teknologi nano, teknologi robotik, stem-sel boleh dipelajari asal saja dikaitkan dengan etika penggunaannya. Teknologi maya dan siber umpamanya adalah berguna tetapi berlaku juga salahguna yang menyebabkan kemudharatan berlaku.
Dalam tradisi Islam umpamanya teknologi selamanya alat. Ia bukannya metlamat. Metlamat ditentukan oleh nilaiguna yang terdapat pada teknologi itu. Komputer umpamanya adalah alat yang berguna sebagai saluran mendapatkan dan menyampaikan maklumat.
Tetapi input, perisian dan program dalam komputer memerlukan saringan. Kalau tidak sebahagian kandungannya boleh membawa mudharat terhadap pemikiran dan mentaliti pengguna. Dalam keadaan penggunaan yang lepas bebas, generasi muda akan mudah terpengaruh dengan bahan-bahan yang disajikan. Program-program lucah seperti fonografi umpamanya mudah terdapat dan ianya boleh merosakkan hatibudi generasi muda.
Penyediaan input dan perisian ikut acuan kita adalah cabaran yang terbesar kepada umat Islam dan umat yang beretika kerana terdapat para penyedia program kurang peka terhadap perkara-perkara ini. Yang mereka pentingkan ialah faktor dagang yang menghasilkan pulangan yang lumayan.
Barat sedang menempa suatu proses tamadun cara mereka sejak lebih 700 tahun yang lalu. Kita menjadi pengguna terhadap apa yang mereka hasilkan. Kita jauh lagi menjadi penyumbang untuk kemajuan umat manusia. Oleh itu sebahagian dari kita menjadikan Barat sebagai indikator maju. Untuk maju mesti ikut cara Barat. Seolah-olah Barat dianggap segala-galanya.
Umat di luar Barat harus mempunyai tekad tinggi untuk membangun ikut acuan kita sendiri. Sumber-sumber berbanding yang baik dan bermanfaat kita ambil dan pelajari. Sumber-sumber yang tidak selari dengan etika dan sistem nilai kita harus ditolak.
Budaya popular Barat umpamanya tidak harus menjadi sumber ikutan kita. Pemahaman mengenai faham liberal, neo-liberal yang terkait dengan hak asasi manusia yang ditakrifkan tanpa mengambil kira faktor agama dan kesusilaan hidup yang fitrah harus ditolak.
Bukan semua sampah sarap dan pemikiran ke arah seksualiti di Barat harus kita ambil. Kita adalah umat yang mempunyai sumber ikutan dan pegangan. Kalau tidak agenda Barat yang ingin menjadikan globalisasi sebagai agenda “penjajahan bentuk baru” akan menjadi suatu realiti.
Umpamanya Barat tidak lagi mengamalkan sistem Keluarga Luas (extended family), malah Keluarga Kecil (neuklear family) jumlah tidak sebanyak mana. Tetapi kecenderungan terhadap pola keluarga yang baru seperti gay dan lesbian adalah sesuatu yang amat berkembang di Barat.
Barat bakal menghadapi krisis genetik yang parah pada masakini dan pada masa depan kerana keyakinan mereka terhadap sistem kekeluragaan yang fitrah sifatnya sudah menjadi suatu taboo (kejanggalan). Sebab itu kajian mengenai isu genetik semakin subur di Barat kerana isu kekeluargaan sedang mengalami suatu definisi dan struktur yang baru.
Konsep pasca-modenisme (post modernism) di Barat sudah menghasilkan corak hidup yang anarki (disorderly) dari sudut kehidupan yang lazim dan fitrah. Umat Islam umpamanya dituntut dengan struktur hidup yang fitrah dimana pembentukan keluarga dan zuriat amat diutama. Inilah asas bagi kesejahteraan hidup manusia supaya landasan agama seperti al Quran umpamanya dijadikan pedoman terbaik bagaimana pembinaan keluarga dan juga umat manusia harus berlaku.
Umat manusia hari ini memerlukan tatacara baru dan fitrah dalam memberi makna perubahan, pembangunan dan kemajuan. Dalam tradisi Islam fokus terhadap rijal atau pembinaan manusia dijadikan sasaran yang penting. Manusia itu harus dibangun seutuhnya dalam kekuatan akal yang membolehkannya berfikir dengan baik, kekuatan hati atau kalbu yang membolehkan manusia memiliki nilai-nilai yang makruf yang tahu membezakan yang baik dengan yang buruk.
Dalam masa yang sama kekuatan akliah dan nafsiah dijadikan seimbang supaya corak amal yang dilakukan mendukung kesejahteraan diri dan juga umat manusia. Fokus terhadap manusia inilah yang menjadi faktor utama yang menyebabkan faktor ke arah perubahan berlaku dengan baik dan terarah.
Perubahan atau change dalam perspektif Barat tidak sama dengan perspektif Islam umpamanya. Perubahan di Barat lebih mekanistik dan menumpu kepada penghasilan bentuk (form). Teknologi tinggi umpamanya adalah bentuk yang dianggap mempunyai kuasa merubah pemikiran dan gaya hidup manusia.
Sedangkan dalam tradisi Islam, keutamaan diberikan terhadap substance atau isi dan makna perubahan itu kepada manusia. Bila manusia berubah dari tidak baik ke baik, dari mengamalkan kemungkaran kepada yang makruf, dari benda-benda yang berdosa kepada yang berpahala ianya adalah sesuatu perubahan yang fitrah. Isu yang berbangkit ialah teknologi tinggi (high-tech) ada manfaat kepada manusia. Bagaimana pula sentuhan keinsanan (high-touch) yang menuntut kualiti amanah, jujur, ikhlas, adil dan bijaksana yang perlu ada bagi manusia. Tanpa nilai-nilai murni ini sentuhan keinsanan tidak akan terjadi.
Inilah perbezaan asas yang menyebabkan kecenderungan manusia kea rah gelagat yang lebih haiwani terjadi. Amalan gay dan lesbian, komoseks dan hetroseks, liwat dan lain-lain sedang dikemukakan oleh kelompok neo-liberalis seolah-olah ini puncak kepada perjuangan hak asasi manusia.
Sekiranya pola budaya seperti itu bakal berkembang dalam masyarakat kita bayangkan jenis kerosakan yang bakal mempengaruhi masyarakat khususnya generasi muda kita. Ianya menuntut tidak saja sikap penolakan yang tinggi terhadap amalan itu tetapi tekad membangunkan semula masyarakat kita mengikut acuan yang fitrah supaya kita ini lebih manusiawi dalam binaan watak dan gelagat.
No comments:
Post a Comment