Friday, August 15, 2008

Himpunan Cerita Rasuah yang di petik dari akhbar tempatan

Calon Ketua UMNO Seremban disyaki sogok wang ditahan

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan calon Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang kepada seorang ahli UMNO untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull memberitahu Mingguan Malaysia, Mohd. Nor ditahan ketika memberi sogokan RM500 kepada ahli berkenaan di Seremban pada pukul 4 petang ini.

Menurutnya, BPR akan memohon perintah tahanan reman daripada mahkamah terhadap Mohd. Nor esok.

‘‘Mohd. Nor ditahan kerana memberi wang suapan kepada seorang ahli UMNO untuk mengundinya dalam pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban pada satu mesyuarat cawangan.

‘‘Mohd. Nor ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997,’’ katanya ketika dihubungi malam ini.

Difahamkan Mohd. Nor yang kini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban ditahan di sebuah pusat beli-belah di Ampangan, Seremban.

Penahanan beliau adalah kes pertama membabitkan calon yang bertanding bagi pemilihan UMNO untuk penggal 2008/2011 kerana dakwaan politik wang.

Dalam pemilihan UMNO Bahagian Seremban kali ini, Mohd. Nor mencabar penyandang jawatan itu, Datuk Ishak Ismail.

Sehingga hari ini, Mohd. Nor telah mendapat 13 pencalonan manakala Ishak memperoleh sembilan pencalonan daripada 22 cawangan yang telah bermesyuarat. Bahagian tersebut mempunyai 67 cawangan.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Nor yang menggantikan Datuk Zakaria Nordin bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rashid Latiff bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

www.utusan.com.my

4 comments:

  1. Ketua Pengarah didakwa rasuah
    14/08/2008
    Petikan akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia, NST, Star, Sun dan Kosmo

    Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) Datuk Mirza Mohammad Taiyab didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah berbentuk rawatan pergigian bernilai RM13,860. Datuk Mirza mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rawatan pergigian yang dibiayai pengarah Syarikat Perunding Pakar Media di mana syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh yang ketika itu Timbalan Ketua Pengarah I LPPM. Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan pada 16 hingga 18 Februari tahun depan.

    ReplyDelete
  2. Juruteknik didakwa rasuah
    14/08/2008
    Petikan akhbar The Star

    Seorang juruteknik komputer dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh menerima rasuah berjumlah RM43,000. Tertuduh dituduh menerima rasuah RM 30,000 dan RM 10,000 pada penghujung Disember 2006 bagi melepaskan barangan skrin komputer milik Syarikat Yuanfa Electronic setelah barangan itu ditahan di Pelabuhan Klang. Tertuduh turut dituduh menerima RM2000 dan RM 1000 atas tujuan yang sama. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan hakim menetapkan 18 September sebutan semula kes. Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    source : Laman BPR

    ReplyDelete
  3. Ahli politik Sabah disiasat kes rasuah
    12/08/2008
    Petikan akhbar Berita Harian, Star, Kosmo, Sun, NST, Nanban dan China Press

    BPR sedang menyiasat seorang ahli politik dari Sabah dipercayai terbabit dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dan amalan rasuah yang membolehkannya mendapat tiga kontrak bernilai RM40 juta di Labuan. Difahamkan ahli politik itu memberi suapan kepada beberapa pegawai Kementerian Wilayah Persekutuan menawarkan tender kontrak bagi membantu Firma kejuruteraannya mendapat kontrak menguntungkan. Ahli politik itu turut disyaki memalsukan beberapa dokumen berkaitan kontrak itu bagi mendapatkan pinjaman RM8juta dari sebuah bank di Kota Kinabalu. Difahamkan juga Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah telah mengarahkan pegawainya menyiasat bagaimana bank tersebut memberi pinjaman kepada ahli politik itu tanpa dokumen lengkap. BPR juga difahamkan telah mengambil beberapa fail milik ahli politik itu yang memegang jawatan penting disebuah agensi di Labuan baru-baru ini. BPR Sabah juga akan mengambil keterangan ahli politik itu dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan untuk tindakan susulan.

    source : laman web BPR

    ReplyDelete
  4. MRR2 - Kontraktor Pakej II akan dipanggil - petikan berita harian

    PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berikutan keretakan terbaru tiang jejambat laluan itu, Ahad lalu.

    Sumber BPR memberitahu Berita Harian, kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

    “Kita juga perlu melihat semula kertas siasatan yang dibuka ketika kejadian terdahulu, sebelum mengambil tindakan susulan berhubung keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Ahad lalu, jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong itu terpaksa ditutup buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun apabila satu daripada tiangnya yang diperbaiki sebelum ini mengalami kerekahan.

    Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kejadian terbaru itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya keretakan yang dibaiki dulu dilakukan dengan berhati-hati.

    Perdana Menteri berkata, sebanyak RM70 juta dibelanjakan bagi membaiki keretakan jambatan itu dulu dan kini ia retak lagi.

    Jejambat sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999 itu, adalah sebahagian daripada Pakej II MRR2 berharga RM238 juta yang dibina Konsortium Bumi Hiway, Sukmin dan KKMJB berdasarkan pelan lakaran syarikat kejuruteraan Maunsell, Sharma dan Zakaria Sdn Bhd (MSZ).

    Pakej II MRR2 bermula dari persimpangan Taman Kepong Indah dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)/Sungai Buloh/Bandar Sri Damansara.

    Laluan itu ditutup untuk kali pertama pada 9 Ogos 2004 apabila 31 daripada 33 tiangnya retak. Berikutan itu, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

    Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, berkata kertas siasatan akan dibuka jika pemeriksaan itu mendapati ada asas pelakuan rasuah dalam pembinaan projek berkenaan.

    Siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang jejambat MRR2 itu, pula mendapati kejadian itu berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

    Laluan itu dibuka kepada kenderaan ringan pada November 2004 sebelum ditutup semula pada Februari 2006 untuk kerja pembaikan tambahan.

    Pada Februari 2006, BPR menerima laporan berhubung masalah membabitkan pembinaan MRR2 daripada Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF). Laluan itu kemudian dibuka semula pada Disember 2006 selepas kerja pembaikan siap.

    ReplyDelete