Namazron Nidron yang dikasihi,
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, kita dapat menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini, walaupun ketika negara sedang berdukacita akibat dua tragedi penerbangan yang melibatkan pesawat MAS MH370 dan MH17. Dugaan yang kita hadapi ini adalah ujian dari Allah SWT, dan kita sebagai hamba-hambaNya harus kekal istiqamah dan tabah.
Secara lazimnya, saya bersama-sama dengan para anggota jemaah menteri akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri pada hari raya pertama di Seri Perdana.
Walaubagaimanapun, bagi menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam nahas MH17 dan mangsa-mangsa MH370 yang masih belum ditemui, kami telah memutuskan untuk membatalkan majlis tersebut tahun ini. Majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pekan, Pahang akan diteruskan seperti biasa pada 23 Ogos 2014.
Dalam kita mengenang mereka yang sudah pergi serta saudara-mara seagama yang sedang dibelenggu sengsara peperangan, kita perlu ingat bahawa umat Islam adalah disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan setelah mengatasi dugaan dan cabaran dalam menjalankan ibadat puasa.
Oleh yang demikian, pada Syawal ini, saya akan menghabiskan masa sepenuhnya bersama isteri, anak-anak dan kaum keluarga. Inilah masanya untuk kita tumpukan masa dan kasih sayang kepada kaum keluarga dan mereka yang terdekat pada kita, selagi Allah mengizinkan.
Dalam bulan Ramadan dan Syawal yang penuh keberkatan ini, kirimkanlah doa kepada mereka yang sedang menghadapi pelbagai dugaan besar, di dalam mahupun di luar negara.
Ingatlah juga kepada pasukan keselamatan kita yang sedang bertugas di Aidilfitri ini, khususnya anggota-anggota ESSCOM yang menghadapi risiko setiap masa di timur Sabah demi menjamin keselamatan negara.
Tradisi-tradisi yang selama ini menyatupadukan kita haruslah dikekalkan agar hubungan silaturrahim antara kita sentiasa rapat dan utuh. Teruskan adat kunjung-mengunjungi sesama kaum. Bukalah pintu hati dan pintu rumah kita dengan penuh keikhlasan.
Kekalkanlah semangat perpaduan dan pemuafakatan sesama kita dalam semangat 1Malaysia.
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda dan keluarga. Maaf zahir dan batin.
Najib Razak