BUKIT MERTAJAM - Seorang pengusaha restoran warga Myanmar maut ditembak lewat hari ini ketika memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat Permatang Batu, di sini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Mazlan Kesah berkata mangsa Ang Kang Chang, 43, mengalami kecederaan parah selepas empat das tembakan yang dilepaskan suspek berkenaan mengenai pipi dan bahu kanan.
  
Katanya, ketika kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa bersama isteri, 48, anak perempuan, 15, dan seorang pekerjanya, 28, sedang menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux dalam perjalanan ke Seberang Jaya untuk keluar makan.
  
"Tiga orang lagi itu yang juga warga Myanmar tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut dan disahkan mati pada pukul 8 malam ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini malam ini.
  
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa dan keluarganya yang datang dari Permatang Rawa berhenti di lampu isyarat berkenaan sebelum seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta proton wira putih keluar dan menghampiri kenderaan Ang.

"Menurut anggota keluarganya, mangsa menyedari sebuah proton wira berkenaan mengekorinya tetapi tidak mengsyaki apa-apa sehingga sampai di lampu isyarat terbabit.
  
"Suspek terbabit keluar dari kereta dan menghampiri kenderaan mangsa, dia melepaskan tembakan dengan satu das mengenai pipi serta tiga lagi bahu kanan Ang," katanya.
  
Mazlan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan perniagaan mangsa.
  
Katanya polis sedang mengenal pasti suspek kejadian itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  
Sementara itu, anak mangsa yang enggan mendedahkan identitinya berkata ayahnya tidak mempunyai musuh. - Bernama

Mati ditembak dalam Perdana

MAYAT Ragunathan yang mati ditembak ketika berhenti di Jalan Seremban-Tampin, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki mati selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ negeri tetapi tidak diketahui tujuannya berhenti di situ.
Menurut beliau, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.
“Semasa terkena tembakan, mangsa yang cedera parah cuba memandu kereta untuk melarikan diri tetapi tidak sampai 40 meter kenderaan dipandunya terbabas ke tepi jalan. Mangsa kemudian ditemui mati di tempat kejadian,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2RaRK6WcQ 
Hakcipta terpelihara