Monday, June 28, 2010

KOS RAWATAN : HOSPITAL SWASTA PERLU JUJUR

Saya sebenarnya terbaca artikel dari laman http://www.yadim.com.my/Kesihatan/KesihatanFull.asp?offset=5&Id=175
yamg mengulas isu kos rawatan di hospital swasta.

Saya rasa ada betulnya dakwaan artikel tersebut. Lebih2 lagi apabila pesakit ada insuran kesihatan.

Saya nak lihat berapa kos saya kena. Saya tiada insuran kesihatan (sebab kalau tengok senarai panel bagi insuran kesihatan saya, hospital yang saya masuk ni tak disenaraikan dalam panel). Tak apalah mahalpun tak apa untuk saya jadikan modal bicara. Esok (29.6.2010) saya akan terima kos keseluruhan.


artikel yang saya maksudkan
Kos Rawatan Mahal: Pilihan di Tangan Pengguna
05 December 2007
Oleh MD. ZAN SAARI


KADAR kesedaran rakyat Malaysia tentang kesihatan serta isu-isu berkaitan dengannya boleh dikatakan amat baik ketika ini.

Meskipun lebih rendah berbanding negara-negara maju dan masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, warga negara ini kini mula memberi tumpuan tentang pentingnya kesihatan berbanding satu ketika dahulu. Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini ialah kempen kesihatan yang giat dilancarkan kerajaan.

Kempen seperti Tak nak Merokok, Amalkan 5M, hapuskan nyamuk Aedes dan sebagainya mula memberi kesan kepada penduduk negara, kerana ia dijalankan secara konsisten dan berterusan.

Seperti yang dinyatakan tadi, kempen tersebut dilaksanakan secara konsisten, iaitu tanpa henti untuk beberapa ketika, adakalanya memakan masa bertahun-tahun.

Tahun demi tahun dan hasilnya, kesedaran tentang kesihatan yang semakin tinggi di negara ini menyebabkan rakyat tidak kisah dan sanggup berbelanja lebih untuk kesihatan.

Jika ditinjau, bilangan hospital swasta di negara ini juga bertambah dengan pesat sejak kebelakangan ini. Pertambahan ini sudah pasti boleh dikaitkan secara langsung dengan kesedaran tentang pentingnya kesihatan dikalangan rakyat.

Pun begitu, timbul pula kesan kurang enak didengar apabila terdapat hospital-hospital swasta yang kurang bertanggungjawab bertindak mengenakan caj terlalu tinggi untuk mengaut keuntungan lebih dalam jangka masa singkat.

Apatah lagi bila pesakit diberikan rawatan yang sebenarnya tidak perlu, tetapi sengaja diada-adakan supaya hospital dapat mengenakan caj lebih.

Senarionya sama seperti kita menghantar kenderaan ke bengkel akibat kerosakan yang sebenarnya kecil. Namun, oleh kerana pengetahuan tentang dunia automotif yang terhad (atau tiada langsung), bengkel mengambil kesempatan mengada-adakan kerosakan kenderaan pelanggan mereka untuk mengaut untung lebih.

Berbalik kepada kes hospital swasta tadi, secara jujurnya, berapa ramaikah antara kita yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang dunia perubatan, rawatan, preskripsi dan sebagainya?

Mungkin ramai yang sudah menjawab tidak tahu, namun apa yang penting sekarang ialah mengambil tahu atas apakah kita dicaj dengan bayaran-bayaran tersebut.

Fenomena ini turut mendapat perhatian kabinet apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mendedahkan di dalam akhbar-akhbar utama pada 4 Disember, terdapat kes di mana pesakit dikenakan caj yang ´mengarut´ semasa menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

Bayangkan, apabila doktor datang ke katil anda sebanyak 15 kali sehari untuk membuat ´pemeriksaan´ yang sebenarnya tidak perlu, dan setiap pemeriksaan itu dikenakan caj RM200.00.

Soi Lek juga berkata, caj yang dikenakan terus meningkat kerana faktor ubatan-ubatan, peralatan, teknologi maklumat serta komunikasi dan pengkomersilan amalan perubatan.

Namun menurut beliau, orang ramai boleh membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia yang bertanggungjawab meneliti sama ada ia membabitkan tindakan tidak beretika sesetengah hospital apabila mengenakan caj tidak berpatutan.

Selain itu, kadar ´penginapan´ yang dikenakan oleh hospital swasta juga sememangnya mahal, malah menyamai kadar yang di hotel-hotel mewah, juga perlu diberi perhatian.

Mungkin disebabkan persaingan yang semakin hebat, kadar bayaran yang dikenakan oleh mereka didapati berada pada lingkungan hampir sama, sekitar RM200 untuk bilik satu katil.

Berikut merupakan kadar bayaran yang dikenakan oleh enam hospital swasta popular di negara ini untuk bilik satu katil bagi satu malam.

Hospital Pantai (Klang) RM200.00

Pusat Perubatan Pantai (Bangsar) RM238 hingga RM488*

Pusat Perubatan Mahkota (Ayer Keroh, Melaka) RM 190.00 hingga RM 220.00*

Hospital Pusrawi (Kuala Lumpur) RM200

Intan Gleneagles (Kuala Lumpur) RM230

Pusat Perubatan Subang Jaya (Subang Jaya) RM198.00 hingga RM308.00*

* bergantung kepada wad

Bagaimanapun, perlu diingat di sini caj yang tertera belum termasuk lima peratus cukai kerajaan/perkhidmatan kecuali bagi Hospital Pusrawi.

Untuk sejumlah wang yang banyak, antara kemudahan yang disediakan ialah set televisyen, peti ais dan tandas untuk kemudahan para pesakit.

Hospital juga menyediakan empat hingga lima hidangan sehari, malah ada juga hospital yang menyediakan pilihan hidangan kepada pesakit sama ada masakan barat, tradisonal Melayu ataupun Cina.

Kini, ada juga hospital yang mempunyai wad mewah, dengan menyediakan ´Presidental Suite´ serta Wad Antarabangsa dan pelbagai lagi kemudahan kepada mereka yang mampu membayarnya.

Justeru, pihak hospital mungkin beranggapan, caj mahal yang dikenakan adalah berpatutan, sesuai dengan apa yang ditawarkan mereka kepada pesakit.

Dan bagi para pesakit yang mampu pula, mereka tidak kisah untuk membayarnya, kerana apa yang diinginkan ialah perkhidmatan yang terbaik daripada pihak hospital.

Bagi para pesakit yang mempunyai perlindungan insuran atau mempunyai kelebihan di mana bayaran kemasukan dan rawatan di hopsital adalah ditanggung majikan, mungkin tidak mempunyai banyak masalah, namun bagi yang terpaksa mendapatkan rawatan di hopsital ini, harga yang dibayar bukannya sedikit.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah mengapa kini hopsital swasta mula menjadi pilihan orang ramai untuk mendapatkan rawatan, sedangkan kita sedia maklum, kos di hospital kerajaan adalah jauh lebih murah.

Perkhidmatan di hospital kerajaan seringkali dikaitkan dengan perlahan, lembab dan tidak cekap. Walaupun sukar diakui, ia merupakan stigma dan tanggapan masyarakat yang amat sukar dikikis.

Anggapan -anggapan bahawa hopsital kerajaan kekurangan katil, kekurangan doktor, lambat memberikan perkhidmatan, jururawat yang tidak mesra pelanggan dan sebagainya kerap dilontarkan pada hospital kerajaan.

Ini ditambah lagi dengan beberapa insiden kecuaian yang mengakibatkan pesakit menerima akibatnya seperti yang berlaku kepada Lai Yoke Shan, bayi berusia dua minggu yang tersalah suntik mengakibatkan sel tangan kirinya mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Orang ramai juga tentu tidak akan melupakan kejadian seorang suri rumah dari Kampung Padang Pekan, Kedah, Bashah Mustaffa, 54, yang menerima darah dicemari kuman HIV di Hospital Jitra tujuh tahun lepas.

Kejadian-kejadian seperti inilah yang menyebabkan semakin ramai pengguna beralih kepada rawatan di hospital swasta, walaupun sedar kosnya mahal.

Mungkin sepatutnya diwujudkan satu garis panduan tenatang jumlah caj yang wajar dikenakan ke atas seorang pesakit sekiranya mendapatkan rawatan di hospital swasta jika tidak mahu masalah ini terus membebankan rakyat, yang sebenrnya hanya mahu mendapatkan rawatan terbaik untuk diri dan keluarga mereka.

Namun, pilihan untuk mendapatkan rawatan samada di hospital swasta ataupun kerajaan sebenarnya terletak di tangan pengguna itu sendiri...

No comments:

Post a Comment