Sunday, March 21, 2010

Azan Subuh 2 Kali : Kenapa tidak di amalkan di Malaysia?

Pada Sabtu lepas (20 Mac 2010), saya berpeluang menginap di Hotel BlueWave di Shah Alam. Saya terdengar Azan Subuh dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada jam 5.02 pagi. Waktu subuh di Shah Alam pada ketika itu ialah pada jam 6.02 pagi. Ini bermakna Masjid tersebut telah mengamalkan Azan Subuh sebanyak 2 kali. Saya teringat semasa saya menunaikan haji di Mekah di mana Azan Subuh memang 2 kali.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya di Malaysia, semua masjid dan surau mengamalkan Azan Subuh sebanyak 2 kali. Kali pertama ialah satu jam sebelum masuk waktu subuh supaya penduduk setempat bersedia untuk ke Masjid/surau sebelum azan yang kedua. Insya Allah jika amalan ini dilaksanakan, hasilnya akan memberangsangkan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam kerana telah berjaya menghimpunkan jemaah subuh melebihi 250 orang. Selepas subuh ada bacaan Quran beramai-ramai yang diketuai oleh IMAM masjid. Walaupun hanya 1 mukasurat sehari tetapi ia akan memberi kesan yang mendalam. Selepas bacaan Quran, imam akan membaca terjemahannya. Selepas itu sama-sama berselawat dan seterusnya membaca Asma Husna beramai-ramai. Saya pasti jemaah yang mengikutinya akan mendapat manfaat dan akan merasa rugi jika tertingal berjemaah subuh.

Bagi penduduk sekitar masjid tersebut, marilah sama-sama subuh berjemaah di masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment